104 Mangsa Banjir Ditempatkan di Pusat Pemindahan Selagon.

Oleh : Mr Pai / Foto : Diyanah 


BEAUFORT, 13 April – YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan telah menziarahi mangsa-mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort.

Seramai 104 mangsa daripada 39 keluarga telah dipindahkan ke pusat ini selepas kediaman mereka dinaiki air sejak semalam. Mereka yang dipindahkan merupakan penduduk dari Kampung Suasa.

Ruslan meluangkan masa meninjau keadaan mangsa dan menyatakan rasa simpati serta penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha menyelamat dan menjaga kebajikan penduduk yang terkesan.

“Melihat wajah-wajah mereka yang penuh kesabaran dan ketabahan, hati ini amat tersentuh. Ada anak kecil yang masih mampu tersenyum, ada ibu yang sedang menenangkan bayinya, dan ada warga emas yang redha dengan ujian yang menimpa. Dalam kepayahan, mereka tetap saling menguatkan antara satu sama lain,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N34 Lumadan yang bertindak pantas membantu proses pemindahan, serta kepada anggota keselamatan yang memastikan segala urusan berjalan dengan lancar dan selamat.

Ruslan turut memuji dedikasi para petugas di PPK Selagon yang sabar dan cekap dalam menjaga keperluan mangsa, termasuk penyediaan makanan, tempat tidur, dan kemudahan asas lain.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir, dan menyeru mereka agar sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. 

“Saya amat risau dengan keselamatan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah. Oleh itu, saya menyeru semua agar sentiasa peka dengan maklumat keadaan cuaca semasa, dan sekiranya diarahkan berpindah, patuhilah arahan pihak keselamatan serta bawa bersama dokumen penting bersama,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar membuat persediaan awal termasuk menyediakan keperluan asas seperti ubat-ubatan, susu bayi, lampin pakai buang serta barangan penting lain yang diperlukan oleh ahli keluarga masing-masing, khususnya bagi bayi, ibu hamil dan warga emas.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.