ZIARAH RAMADAN: MEMPERERAT UKHUWAH DAN MENYEMARAKKAN IBADAH.
Lumadan, 6 Mac – YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), meneruskan program Ziarah Ramadan dengan mengimarahkan beberapa masjid dan surau sekitar DUN Lumadan. Program ini bukan sekadar menghidupkan suasana ibadah dalam bulan penuh keberkatan, tetapi juga sebagai ruang untuk mempererat ukhuwah serta menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Pada sebelah petang, beliau berkesempatan berbuka puasa bersama jemaah di Masjid Kebajang Ulu, dalam suasana harmoni yang mencerminkan keindahan Ramadan sebagai bulan perpaduan dan kasih sayang. Seusai berbuka, beliau bersama jemaah menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada anak-anak yatim, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Sumbangan kurma serta kalendar takwim Ramadan turut diserahkan kepada pihak masjid sebagai panduan kepada jemaah dalam menyusun jadual ibadah sepanjang bulan mulia ini.
Ruslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, meneruskan ziarah ke Masjid Kg Lawa, di mana beliau berpeluang menunaikan solat Isyak dan Terawih bersama jemaah. Sebagai wakil rakyat yang dipilih untuk mewakili suara dan kepentingan penduduk di kawasan DUN Lumadan, beliau turut mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan masyarakat setempat, mendengar keperluan mereka, serta menyampaikan bantuan.
"Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk kita memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amal kebajikan serta menyuburkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Saya amat gembira dengan semangat kerjasama Dan kesungguhan jemaah dalam menghidupkan Ramadan di masjid Dan Surau," katanya dalam perkongsian di Facebook.
Tidak berhenti di situ, Ruslan seterusnya menyertai sesi Tadarus al-Quran di Surau Kg Silaun. Dalam majlis penuh keberkatan itu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada anak-anak yatim, serta menyerahkan kurma dan kalendar takwim Ramadan kepada Pengerusi Surau sebagai tanda penghargaan kepada kepimpinan surau yang sentiasa berusaha mengimarahkan rumah Allah.
"Alhamdulillah, dapat sama-sama menyemarakkan amalan tadarus di Surau Kg Silaun. Selain memperbanyakkan bacaan al-Quran, Ramadan juga mengingatkan kita untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Semoga sumbangan kecil ini memberi manfaat kepada mereka," ujarnya lagi.
Selepas sesi tadarus, beliau turut meluangkan masa bersama jemaah, berkongsi pandangan serta mendengar harapan mereka dalam memperkukuh aktiviti keagamaan di kampung ini.
Menurut Ruslan, inisiatif seperti Ziarah Ramadan bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai ruang untuk mendengar sendiri keperluan serta harapan masyarakat dalam memperkukuh pembangunan agama di peringkat akar umbi. Justeru, beliau mengajak semua pihak untuk terus menyemarakkan Ramadan dengan ibadah, mempererat silaturahim, dan saling membantu demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir dalam program ini, Tuan Muanam, Pegawai Perhubungan Khas Parlimen P178 Sipitang, serta pemimpin masyarakat yang turut bersama menyemarakkan Ramadan di DUN Lumadan.