Ziarah Kasih: Menyulam Doa di Sebalik Air Mata.
Oleh : Mr Pai / Foto : Diyanah
Lumadan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, meneruskan komitmen menyantuni masyarakat dengan menziarahi beberapa keluarga yang baru kehilangan insan tersayang di sekitar DUN Lumadan.
Dalam siri Ziarah Kasih ini, Ruslan menzahirkan rasa dukacita serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga yang diuji dengan pemergian insan tercinta. Beliau turut mengambil kesempatan untuk mendoakan semoga roh mereka yang telah pergi dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Di Kg Lago, Ruslan menziarahi keluarga Allahyarham Ajid bin Liak, manakala di Kg Kabajang, beliau menyantuni waris Almarhum Junih bin Inai. Dalam kesempatan ini, beliau mengingatkan bahawa kehilangan insan tersayang bukanlah sesuatu yang mudah, namun sebagai hamba Allah, kita perlu reda dengan setiap ketentuan-Nya.
Seterusnya, di Kg Lanting, Ruslan mengunjungi keluarga Almarhum Mohd Ramlan bin Watdah dan turut berkesempatan bertemu dengan seorang warga emas, Iniah binti Angkim, yang mengalami kemerosotan kesihatan akibat faktor usia. Beliau menyampaikan kata-kata semangat dan menitipkan doa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik serta memudahkan segala urusan kehidupan warga emas tersebut.
Di Kg Garama, Ruslan menziarahi keluarga Almarhumah Tiawa binti Liakbar, yang masih dalam suasana hiba mengenang pemergian insan tersayang. Begitu juga di Kg Palai, beliau menyantuni keluarga Almarhumah Hajah Jauyah binti Edris, yang dikenang sebagai seorang wanita penyayang dan lemah lembut. Kehilangannya bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga masyarakat sekeliling.
“Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada-Nya. Yang tinggal hanyalah amal soleh dan doa yang tidak putus-putus daripada kita yang masih hidup. Semoga keluarga yang ditinggalkan terus tabah dan kuat dalam menghadapi ujian ini,” ujar Ruslan dalam pertemuan tersebut.
Turut hadir dalam siri ziarah ini ialah beberapa pemimpin masyarakat setempat yang bersama-sama menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada keluarga yang diuji.
Semoga roh mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampuni segala dosa, dan dikurniakan syurga sebagai tempat peristirahatan abadi. Al-Fatihah.