YAB KETUA MENTERI SABAH TINJAU KEADAAN BANJIR DI BEAUFORT, SALURKAN BANTUAN KEPADA MANGSA.
BEAUFORT, 11 Mac – Keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan apabila YAB Ketua Menteri Sabah turun padang meninjau keadaan banjir di daerah ini serta menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas. Lawatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya ketika berdepan bencana alam.
Dalam lawatan tersebut, YAB Ketua Menteri diiringi oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam. Program bermula di Dewan DSP Mohd Dun Banir, di mana Ketua Menteri menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta Bantuan Bakul Makanan (BBM) kepada mangsa banjir sebagai langkah segera bagi meringankan beban mereka.
Selain itu, Ketua Menteri turut meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di khemah pemindahan sementara, mendengar keluhan mereka serta memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.
Lawatan diteruskan ke Pekan Beaufort bagi meninjau kawasan yang terjejas sebelum bergerak ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon. Pemerhatian secara langsung ini membolehkan kerajaan negeri menilai keperluan mendesak di lapangan dan memastikan bantuan diagihkan dengan lebih berkesan.
Menurut YB Datuk Haji Ruslan Muharam, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan terjejas sentiasa menjadi keutamaan.
"Kami memahami kesulitan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan saya menyeru semua yang terkesan agar terus bersabar serta tabah menghadapi ujian ini. Kerajaan negeri komited untuk membantu dalam apa jua cara yang termampu demi kesejahteraan rakyat," katanya.