USAHA MEMPERKASA INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN DI LUMADAN.

Oleh : Mr Pai 

Lumadan, 3 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menegaskan bahawa usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan di Lumadan perlu diberi keutamaan bagi memastikan akses pendidikan yang selamat dan berkualiti untuk anak-anak di kawasan ini.

Dalam satu lawatan kerja bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort, UPPM N34 Lumadan, PDRM, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beaufort, JKKK serta pemimpin masyarakat kampung, beliau meninjau beberapa tapak cadangan pembinaan sekolah serta perkembangan projek pendidikan yang sedang berjalan.

"Kita komited memastikan pembangunan pendidikan di Lumadan terus diperkasa. Antara perancangan utama ialah pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di Kampung Padas Damit, yang akan dibina di atas tanah seluas 50 ekar dalam kawasan pembangunan perkampungan baharu seluas 285 ekar yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya.


Selain itu, turut dicadangkan pembinaan sebuah sekolah rendah (17 ekar) dan sebuah balai bomba (5 ekar) bagi memastikan kemudahan asas tersedia untuk penduduk setempat.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Ruslan Muharam turut memberi perhatian terhadap isu banjir yang sering melanda SK Lago dan SK Suasa ketika musim banjir, yang menyebabkan sesi pembelajaran terganggu dan sekolah terpaksa ditutup buat sementara waktu.

"Kita memahami kesukaran yang dihadapi murid-murid dan guru-guru setiap kali musim banjir melanda. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan proses pembelajaran, malah memberi tekanan kepada ibu bapa dan komuniti setempat. Oleh itu, satu cadangan telah dikemukakan untuk membina sebuah sekolah baharu di lokasi yang lebih tinggi dan selamat agar pendidikan mereka tidak lagi terganggu akibat bencana alam," jelasnya.


Beliau turut meninjau perkembangan projek pembinaan baharu di SK Bintuka dan SK Jabang bagi memastikan kemudahan pendidikan di kawasan ini terus dipertingkatkan.

"Saya melihat sendiri perkembangan kerja-kerja pembinaan di sekolah-sekolah ini. Walaupun terdapat sedikit kelewatan, kita akan memastikan projek ini siap dalam tempoh yang dirancang supaya murid-murid dan tenaga pengajar dapat menikmati kemudahan yang lebih baik," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengambil tindakan sewajarnya bagi mempercepatkan proses pembinaan sekolah-sekolah ini.

"Pendidikan adalah hak setiap anak-anak kita. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Mereka berhak mendapat akses kepada pendidikan yang selamat dan berkualiti," tegas beliau.

Menurutnya, kerjasama erat antara semua pihak termasuk PPD, UPPM N34 Lumadan, PDRM, JTU Beaufort, JKKK serta pemimpin masyarakat adalah kunci utama dalam menjayakan perancangan pembangunan pendidikan di kawasan ini.

"Saya akan terus memastikan pembangunan pendidikan di Lumadan diberi keutamaan dan akan bekerja rapat dengan masyarakat bagi memperjuangkan hak pendidikan anak-anak kita. Kerajaan akan terus berusaha memastikan setiap pelajar mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik demi masa depan mereka," katanya lagi.


Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.