TINJAUAN JALAN TERPUTUS AKIBAT BANJIR DI KG BALIBATA: KESELAMATAN RAKYAT DIUTAMAKAN.
KAMPUNG BALIBATA, 7 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, hari ini turun padang meninjau keadaan jalan yang terputus akibat banjir di Kampung Balibata. Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, lebih-lebih lagi apabila laluan utama ke kampung itu terjejas teruk, menyukarkan pergerakan serta operasi bantuan kecemasan.
Dalam tinjauan tersebut, Ruslan mengarahkan Pejabat Khidmat Rakyat DUN N34 Lumadan dan UPPM N34 Lumadan untuk bertindak segera bagi membantu penduduk yang memerlukan pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Beliau menegaskan bahawa tindakan pantas amat diperlukan tanpa perlu menunggu aduan daripada penduduk.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan. Kita tidak boleh bertangguh apabila situasi memerlukan tindakan segera. Pihak berkuasa seperti Bomba, Polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga perlu dimaklumkan awal agar persiapan rapi dapat dibuat bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan selamat,” katanya di Facebook.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan penduduk, terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran sungai atau kawasan rendah yang terdedah kepada arus deras. Dalam keadaan sebegini, ancaman daripada binatang buas seperti buaya dan ular juga tidak boleh dipandang remeh.
"Saya menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada. Jangan ambil mudah ancaman yang boleh membahayakan nyawa. Jika keadaan semakin buruk, utamakan keselamatan diri dan keluarga dengan segera berpindah ke tempat lebih selamat. Ikuti arahan pihak berkuasa dan maklumkan segera kepada pasukan keselamatan sekiranya memerlukan bantuan," tambahnya lagi.
Ruslan turut menyeru penduduk agar terus saling membantu dalam menghadapi bencana ini dan bersama-sama berdoa agar dilindungi daripada sebarang musibah.