Simpang Mengayau Bakal Jadi Pusat Ilmu Falak Sabah?
KUDAT, 23 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam mencadangkan agar Simpang Mengayau dijadikan pusat ilmu falak bagi negeri Sabah.
Dalam program Jelajah Santunan Kasih Ramadan di Surau Nur Iman, Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, Ruslan bukan sahaja merasmikan surau berkenaan tetapi turut berbuka puasa dan bersilaturahim bersama masyarakat setempat serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Ruslan, masjid dan surau bukan sekadar tempat solat, tetapi juga mempunyai peranan penting dalam membentuk perpaduan dan pembangunan ilmu dalam kalangan umat Islam.
"Masjid bukan hanya rumah ibadah, tetapi juga pusat perkembangan ilmu, perpaduan serta tempat masyarakat mencari penyelesaian kepada pelbagai isu kehidupan. Sejarah telah membuktikan bahawa institusi ini memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak," katanya.
Dalam ucapannya, Ruslan turut mengusulkan cadangan pembinaan balai cerap di Simpang Mengayau sebagai pusat kajian ilmu falak dan penentuan kalendar Islam di Sabah.
"Simpang Mengayau mempunyai kedudukan yang sangat strategik menghadap luas ke langit dan jauh dari pencemaran cahaya bandar. Ia sesuai untuk cerapan anak bulan, kajian astronomi, dan pendidikan falak yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar, penyelidik, serta masyarakat," jelasnya.
Sehubungan itu, Ruslan telah meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kudat menyediakan kertas kerja cadangan bagi meneliti perkara ini sebelum dibawa ke peringkat negeri.
"Jika dapat direalisasikan, Simpang Mengayau bukan sahaja dikenali sebagai Titik Paling Utara Borneo, tetapi juga sebagai pusat rujukan ilmu falak di Sabah," tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Surau Nur Iman, JHEAINS Kudat, serta Badan Dakwah Daerah Kudat atas usaha menjayakan program ini dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan serta tenaga bagi memastikan kelancaran majlis.