SANTUNAN KASIH RAMADAN: QIAMULLAIL PENUHI KEHENINGAN MALAM DI KENINGAU.
KENINGAU, 27 Mac – Keberkatan Ramadan terus disemarakkan melalui program Jelajah Santunan Kasih Ramadan 2025, di mana Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama masyarakat Islam Keningau menunaikan Qiamullail di Masjid Al-Taqwa.
Seawal jam 3 pagi, jemaah mula memenuhi ruang masjid, menzahirkan kesatuan hati dalam ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malam yang hening dipenuhi dengan solat sunat, istighfar, serta munajat, membangkitkan rasa keinsafan dan ketundukan dalam kalangan hadirin.
Selesai Qiamullail, jemaah menikmati sahur bersama, melambangkan semangat Santunan Kasih Ramadan yang bukan sekadar merapatkan hubungan dengan Allah, tetapi juga mempererat ukhuwah sesama insan.
Program diteruskan dengan solat Subuh berjemaah dan tazkirah pagi, memperkukuh lagi penghayatan terhadap Ramadan sebagai bulan pembentukan jiwa dan keperibadian Muslim.
Ruslan menzahirkan harapan agar ibadah di sepertiga malam ini menjadi ruang bagi masyarakat meraih keberkatan, mengukuhkan keimanan, serta mempererat hubungan dalam komuniti.
"Semoga Ramadan ini menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan lebih prihatin terhadap masyarakat di sekeliling kita. Kita teruskan perjalanan ini dengan keikhlasan, keinsafan, dan kasih sayang," katanya.