RUSLAN KECAM SERANGAN KEJAM ISRAEL KE ATAS PALESTIN.
Kota Kinabalu, 19 Mac 2025 – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam Israel ke atas Palestin yang berlaku pada 18 Mac lalu, mengorbankan ratusan nyawa tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau, Ruslan menyifatkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu sebagai pencabulan hak asasi manusia yang serius dan menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman ini.
“Pembunuhan beramai-ramai ini mesti dihentikan segera, dan keadilan harus ditegakkan untuk rakyat Palestin yang sekian lama ditindas. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya di negeri Sabah dan kawasan Lumadan, agar bersatu menentang keganasan ini dan menyuarakan sokongan kepada mereka yang dizalimi,” katanya.
Ruslan turut mengajak umat Islam untuk terus berdoa agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi ujian ini.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia harus terus menyatakan bantahan terhadap kezaliman ini serta memberikan sokongan moral dan doa berterusan kepada rakyat Palestin.
"Kita tidak akan berdiam diri. Semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kemenangan kepada rakyat Palestin," tambahnya.