RTM Terus Menjadi Wadah Informasi Rakyat.
KOTA KINABALU, 1 April – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Bin Muharam, menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena ulang tahun ke-79 badan penyiaran tertua negara itu.
Menurut beliau, RTM telah memainkan peranan penting sebagai medium penyampaian maklumat yang sahih, di samping mendidik dan menghiburkan rakyat dengan kandungan berkualiti.
"Sebagai sebuah institusi penyiaran yang berwibawa, RTM kekal menjadi suara rakyat dan terus relevan dalam menyampaikan berita yang tepat serta membentuk kefahaman masyarakat terhadap isu semasa. Semoga RTM terus maju dan menjadi platform informasi yang dipercayai, khususnya bagi rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan harapan agar RTM terus berdaya saing dan memanfaatkan teknologi baharu dalam memperkukuhkan peranannya sebagai media rasmi negara.