RIBUT PETIR DAN HUJAN LEBAT DI LUMADAN: PENDUDUK DINASIHAT BERJAGA-JAGA.
BEAUFORT, 23 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menyeru masyarakat di DUN N.34 Lumadan agar berwaspada susulan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang ini.
Menurut ramalan terkini MetMalaysia yang diumumkan pada jam 4:55 petang, kawasan Beaufort, khususnya dalam DUN Lumadan, dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 9:00 malam ini. Keadaan cuaca ini berpotensi mengakibatkan banjir kilat di kawasan rendah serta risiko tanah runtuh di kawasan berbukit.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya menasihati semua penduduk agar mengelakkan aktiviti luar, terutama di kawasan terbuka dan berhampiran sungai. Selain itu, sentiasa peka dengan makluman cuaca daripada sumber rasmi seperti MetMalaysia dan pihak berkuasa tempatan,” ujar Ruslan dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu dalam hujan lebat serta mengelakkan laluan yang mudah dinaiki air. Penduduk yang menetap di kawasan rendah dan berhampiran sungai disarankan menyediakan peralatan kecemasan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, ibu bapa dinasihati agar memantau anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan banjir atau berhampiran sungai yang deras.
“Marilah kita semua bersama-sama menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Semoga kita dilindungi daripada sebarang musibah,” tambah beliau.