RAMADHAN: BULAN UNTUK REFLEKSI, BUKAN SEKADAR BERPUASA.
KOTA KINABALU, 21 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menghadiri Majlis Berbuka Puasa Peringkat PROSPEK di Penjara Pusat Kota Kinabalu, sebuah program bermakna dalam menghayati Ramadhan sebagai bulan refleksi dan keinsafan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ruslan menekankan bahawa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga masa untuk merenung perjalanan hidup, memperbaiki diri, dan mendekatkan hati kepada Allah.
"Ramadhan adalah masa untuk kita muhasabah, menilai diri, dan kembali kepada fitrah. Setiap insan berhak mendapat peluang kedua, dan saya menyeru semua pihak agensi agama, NGO Islam, serta masyarakat untuk terus menyokong usaha murni ini," katanya.
Sepanjang bulan mulia ini, para penghuni dibimbing dalam pelbagai aktiviti keagamaan seperti tadarus Al-Quran, solat berjemaah, qiamullail, serta amalan yang memperkukuh jiwa dan sahsiah. Dalam majlis itu, Ruslan turut dimaklumkan mengenai penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Falah, institusi tahfiz pertama dalam Jabatan Penjara Negeri Sabah yang mendapat kelulusan pendaftaran pada Januari 2025.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia atas komitmen mereka dalam membimbing para penghuni melalui pendekatan berbentuk rohani dan pendidikan.