QIAMULLAIL & SAHUR BERJEMAAH: KEBERKATAN RAMADAN DIRAIH, UKHUWAH DIPERKUKUH.

Oleh : Mr Pai / Foto : PTAD JHEAINS Tamparuli


TAMPARULI, 23 Mac 2025 – Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli menjadi saksi keindahan ibadah apabila umat Islam berkumpul dalam Program Qiamullail & Sahur Berjemaah yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah, JHEAINS Daerah Tamparuli, dan AJK Masjid Ubudiyyah Tamparuli.

Program penuh keberkatan itu turut disertai oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama isteri.

KEHENINGAN MALAM DIHIDUPKAN DENGAN QIAMULLAIL

Bermula sekitar jam 3.00 pagi, program ini mengajak para jemaah untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Tahajud, Taubat, dan Witir, diikuti dengan tazkirah yang mengajak kepada muhasabah diri. Keinsafan jelas terpancar apabila para jemaah menundukkan kepala dalam doa, memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau, Ruslan menzahirkan rasa syukur kerana dapat turut serta dalam ibadah yang bukan sahaja menguatkan hubungan dengan Allah SWT, tetapi juga menyuburkan rasa persaudaraan sesama Islam.

KEINDAHAN SAHUR BERJEMAAH

Menjelang Subuh, jemaah bersama-sama menikmati sahur beramai-ramai, mencipta suasana yang penuh harmoni dan kasih sayang. Duduk semeja, berkongsi rezeki, serta berbual mesra mencerminkan kebersamaan umat Islam yang harus terus diperkukuhkan.

"Sahur ini bukan sekadar mengisi perut, tetapi melambangkan kebersamaan, menyemarakkan kasih sayang dan ukhuwah dalam bulan penuh rahmat ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

PENGHARGAAN & HARAPAN RAMADAN

Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada Saudara Suffian Kundu, PTAD JHEAINS Tamparuli, Pejabat Ketua Menteri Sabah, JHEAINS Daerah Tamparuli, pihak pengurusan masjid, serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

"Syabas dan tahniah kepada semua yang hadir serta mereka yang menyumbang dalam apa jua bentuk. Semoga semangat Ramadan ini terus membara dalam hati kita, bukan hanya dalam bulan ini tetapi juga dalam kehidupan seharian. Marilah kita terus istiqamah dalam beribadah dan memperkukuhkan ukhuwah, menjadikan Ramadan sebagai medan perubahan ke arah yang lebih baik," katanya.

Program ini bukan sekadar satu amalan, tetapi lambang perpaduan dan kesatuan ummah dalam bulan yang penuh keberkatan. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dalam membentuk masyarakat Islam yang lebih kuat dan berjiwa besar.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.