PERUTUSAN AIDILFITRI: RUSLAN SERU KEKUATAN SILATURAHIM DAN PERPADUAN.
KOTA KINABALU, 30 Mac 2025 – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam, menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di Sabah dan DUN Lumadan, dalam perutusan khas sempena Syawal yang bakal menjelang.
Dalam perutusan tersebut, Ruslan menyatakan kesyukuran atas kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk menyambut Aidilfitri setelah sebulan menunaikan ibadah puasa. Hari yang penuh kegembiraan ini bukan sahaja menandakan kemenangan mengekang hawa nafsu, tetapi juga menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim serta mempererat hubungan kekeluargaan dan masyarakat.
“Hari Raya Aidilfitri adalah simbol penyatuan dan kebersamaan, satu saat di mana kita kembali kepada fitrah, menyemai kasih dalam keluarga, dan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat. Semoga Syawal ini membawa keberkatan dan kegembiraan kepada kita semua, menjadikan kita insan yang lebih sabar, lebih penyayang, dan lebih dekat dengan nilai-nilai murni Islam,” ujar beliau dalam perutusannya.
Dalam kesempatan ini, Ruslan turut memohon kemaafan kepada seluruh rakyat di DUN Lumadan dan Sabah sekiranya terdapat kekhilafan dalam tutur kata atau perbuatan sepanjang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
“Saya dengan penuh keikhlasan menghulurkan salam kemaafan kepada seluruh rakyat di DUN Lumadan dan Sabah amnya. Jika ada kekhilafan dalam tutur kata atau perbuatan, saya dengan rendah hati memohon ampun dan maaf, moga-moga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah SWT,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat untuk terus bersatu padu, hidup dalam harmoni, serta mengamalkan sikap tolong-menolong sebagai asas kepada sebuah masyarakat yang maju dan sejahtera.
“Marilah kita terus berdoa agar negeri dan negara kita sentiasa dalam keadaan aman, makmur, dan diberkati oleh-Nya,” tambah beliau.
Ruslan menutup perutusannya dengan ucapan penuh bermakna kepada seluruh masyarakat.