MISI BANTUAN BANJIR: 3,126 BAKUL MAKANAN SELAMAT DIAGIHKAN KEPADA MANGSA TERJEJAS.

Oleh : Mr Pai / Foto : UPPM N34 Lumadan 


LUMADAN, 14 Mac 2025 – Sebanyak 3,126 bakul makanan telah berjaya diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan DUN Lumadan dalam misi bantuan yang berlangsung pada 12 hingga 13 Mac lalu. Agihan bantuan ini merangkumi kawasan yang terjejas, termasuk Zon Luagan, Zon Lupak, Zon Gadong, Zon Kebaajang, Zon Suasa, dan Zon Bangkalalak.

Sebagai tanda sokongan kepada penduduk yang terkesan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, telah menyampaikan bakul makanan secara simbolik kepada pemimpin masyarakat di Kampung Luagan Sanginan. Menurut beliau, bantuan ini bukan sekadar penyampaian bekalan keperluan asas tetapi juga simbol kebersamaan dan keprihatinan dalam menghadapi cabaran pasca banjir.


"Keadaan pasca banjir masih mencabar buat ramai penduduk. Tanaman pertanian yang menjadi sumber pendapatan mereka banyak yang musnah, manakala rumah-rumah pula dipenuhi lumpur. Kini, mereka sedang berusaha membersihkan kediaman masing-masing, dengan harapan dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala," kata beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan ini, termasuk pemimpin masyarakat, sukarelawan, pihak berkuasa, agensi kerajaan, serta individu dan badan bukan kerajaan yang menyumbang tenaga serta masa mereka.

"Kita adalah satu keluarga besar di Lumadan, dan keluarga tidak akan membiarkan ahli-ahlinya menghadapi kesusahan sendirian. Dalam saat-saat sukar seperti ini, kesabaran dan kecekalan amat penting. Musibah datang tanpa diduga, tetapi yang lebih utama ialah bagaimana kita bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih kuat dan bersatu hati," tambahnya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak terus saling membantu dan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas. Ruslan yakin bahawa dengan semangat kekitaan dan usaha bersama, keadaan akan kembali pulih, dan penduduk dapat membina semula kehidupan mereka dengan lebih tabah.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.