MENYANTUNI MANGSA BANJIR.
LUMADAN, 12 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N34 Lumadan serta Encik Muanam, Pegawai Khas Perhubungan Parlimen P178 Sipitang, turun padang meninjau situasi banjir di beberapa lokasi yang terjejas. Turut serta dalam lawatan ini ialah pasukan keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Antara lokasi yang dikunjungi:
✅ Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kg Batandok Lubak
✅ PPS Masjid Kg Mentulud
✅ Kg Lago
✅ Kg Suasa
Keadaan air dilaporkan mula surut di beberapa kawasan, namun masih terdapat laluan yang belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan, khususnya di Zon Bangkalalak dan Zon Suasa. Oleh itu, penghantaran bakul makanan ke kawasan yang masih terputus hubungan sedang diutamakan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terjaga.
Dalam tempoh dua hari ini sahaja, lebih 3,000 bantuan makanan telah diagihkan, dan jumlah ini akan terus ditingkatkan agar semua keluarga yang terjejas mendapat bekalan secukupnya.
Selain bantuan makanan, cabaran utama pasca banjir melibatkan akses jalan raya dan bekalan air bersih. Banyak laluan masih dipenuhi lumpur, dan usaha sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi untuk mempercepatkan kerja-kerja pembersihan. Masalah tekanan air rendah pula sedang ditangani berikutan proses pembersihan loji yang turut terjejas akibat banjir, dan bekalan air dijangka kembali stabil dalam masa terdekat.
Ruslan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir, termasuk pasukan keselamatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan yang turun padang bagi memastikan keperluan mangsa dipenuhi.
"Marilah kita teruskan doa dan usaha bersama demi kesejahteraan rakyat yang terkesan dengan bencana ini. Semoga Allah permudahkan segala urusan pemulihan dan memberikan kekuatan kepada semua yang diuji," katanya.