Mengimarahkan Malam Ramadhan di Surau Pulai Manang.
PULAI MANANG, 26 Mac – Keberkatan Ramadhan terus dirai dengan penuh semangat ukhuwah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama isteri, menghadiri solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawih di Surau Pulai Manang malam tadi.
Ketibaan Ruslan disambut mesra oleh pemimpin masyarakat serta penduduk kampung yang hadir beramai-ramai bagi menghidupkan malam-malam bulan mulia ini. Suasana di surau dipenuhi rasa kebersamaan, di mana jemaah dari pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak hingga warga emas berkumpul dalam satu saf, memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan mengeratkan silaturahim sesama insan.
Ruslan menzahirkan rasa syukur atas sambutan hangat daripada jemaah serta keindahan suasana ibadah yang penuh ketenangan. Beliau turut memuji semangat masyarakat kampung yang tetap istiqamah dalam melaksanakan ibadah solat Tarawih secara berjemaah, meskipun dalam kesibukan rutin harian.
"Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran. Inilah masanya kita memperbanyakkan amal ibadah, memohon keampunan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kehadiran jemaah yang ramai malam ini menunjukkan betapa masyarakat kita masih teguh berpegang pada nilai-nilai agama dan semangat persaudaraan yang erat," katanya.
Selain menunaikan solat Tarawih, Ruslan turut meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah, bertukar-tukar pandangan serta mendengar aspirasi masyarakat setempat.
"Saya berdoa semoga semua yang hadir ke rumah Allah ini diberikan kekuatan dan ketabahan untuk terus beribadah dengan istiqamah hingga ke penghujung Ramadhan. Mudah-mudahan setiap langkah kita ke surau dan masjid menjadi asbab keberkatan dan rahmat yang berlipat ganda di sisi-Nya," tambahnya.
Dengan semangat Ramadhan yang terus menyala, beliau turut menyeru umat Islam untuk memanfaatkan bulan ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan, bukan sahaja dalam bentuk ibadah khusus tetapi juga dalam membantu mereka yang memerlukan.