MAJLIS TADARUS & KHATAM PERDANA SEMARAKKAN NUZUL AL-QURAN DI SABAH.
KOTA KINABALU, 17 Mac – Istiqbal Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1446H diraikan dengan penuh penghayatan melalui Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah, semalam.
Majlis penuh keberkatan ini diserikan dengan keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa bin Aman, serta dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Noor.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Haji Mohd Ariffin bin Mohd Arif, serta barisan kepimpinan negeri dan para ilmuan Islam.
Dalam majlis ini, Ruslan bersama Mohd Ariffin turut menyertai sesi tadarus dengan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Menurutnya, kesempatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai tanda penghayatan terhadap mukjizat terbesar yang menjadi pedoman hidup umat Islam.
"Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Semoga majlis ini menjadi pendorong untuk kita semua terus mendalami dan mengamalkan ajaran suci ini dalam kehidupan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Majlis ini turut dihadiri oleh ratusan jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin negeri, para ilmuan, guru-guru agama, serta pelajar-pelajar tahfiz. Acara ini bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, malah menjadi platform untuk menyatukan umat dalam menghayati keindahan Al-Quran.