Majlis Berbuka Puasa PBBS 2025: Menghimpunkan Kepimpinan Tertinggi Dalam Suasana Ukhuwah.

Oleh : Mr Pai 


BEAUFORT, 26 Mac – Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di The Gem Hotel, Beaufort, menghimpunkan Ahli Majlis Tertinggi PBBS serta kepimpinan persatuan dalam satu majlis penuh bermakna semalam.

Presiden PBBS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis berbuka puasa pada tahun ini tidak dapat dianjurkan di peringkat zon-zon, seperti kebiasaan tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, majlis di peringkat pusat ini tetap menjadi medan penting untuk merapatkan hubungan dalam kalangan kepimpinan PBBS serta memperkukuh jalinan persaudaraan sesama ahli.

Ruslan turut menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat Beaufort yang terkesan dengan banjir yang sering melanda daerah ini. 

“Kita amat bersimpati dengan saudara-saudara kita yang diuji dengan musibah ini. Dengan Syawal yang bakal menjelang, kita berharap mereka dapat menyambutnya dengan penuh kesabaran dan semangat kekeluargaan,” katanya.

Menurut Ruslan, situasi banjir yang berulang kali melanda Beaufort menuntut semua pihak untuk bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau juga mengingatkan bahawa kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian adalah sebahagian daripada penghayatan nilai Ramadan. 

“Setiap ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya. Saya yakin masyarakat kita tetap kuat dan bersatu dalam menghadapi cabaran ini,” tambahnya.

Selain itu, Ruslan turut mengumumkan bahawa pembinaan dua Rumah Tradisi Bisaya di perkarangan bangunan PBBS telah siap sepenuhnya. 

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh identiti warisan masyarakat Bisaya tetapi juga membuka peluang untuk PBBS menjana pendapatan. Kita bercadang untuk menambah lagi rumah-rumah ini bagi memenuhi keperluan penginapan di Beaufort, khususnya ketika musim perayaan dan acara besar,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk memastikan pembangunan masyarakat Bisaya terus diperkukuh dari segi ekonomi, pendidikan, dan sosial. Menurutnya, PBBS akan terus berperanan sebagai platform utama dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Bisaya di Sabah.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.