KEMPEN PERANGI AEDES: RUSLAN SERU PENDUDUK PATUHI LANGKAH PENCEGAHAN.
BEAUFORT, 13 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap ADUN Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes demam denggi di sekitar Taman Perumahan Beaufort Selatan dan menggesa penduduk agar segera mengambil langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak ini.
"Demam denggi bukan sekadar angka dalam laporan kesihatan, ia ancaman nyata kepada nyawa kita dan orang tersayang. Jangan tunggu sehingga ada ahli keluarga kita yang menjadi mangsa. Setiap individu bertanggungjawab memastikan rumah dan kawasan sekitar bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes," tegas beliau.
Sebagai langkah kawalan, pihak berkuasa kesihatan telah menjalankan operasi semburan fogging di kawasan yang terjejas. Namun, Ruslan menegaskan bahawa fogging sahaja tidak mencukupi jika penduduk masih mengabaikan kebersihan persekitaran dan membiarkan takungan air yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
"Saya ingin mengingatkan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam hal ini. Kompaun sehingga RM500 akan dikenakan kepada mana-mana pemilik rumah yang didapati membiakkan jentik-jentik. Jangan sampai tindakan undang-undang diambil baru kita mahu bertindak," ujar Ruslan.
Beliau turut menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan proaktif dalam usaha membanteras denggi. "Kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita. Jangan biarkan nyamuk Aedes mengancam kesihatan dan keselamatan kita. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat kawasan berisiko agar tindakan dapat diambil tanpa berlengah," tambah beliau.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan kesihatan, membersihkan kawasan rumah secara berkala, serta memastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.