KEHENINGAN SEPERTIGA MALAM DI MASJID HAJI ABDULLAH, KG LUMAT, SIPITANG.
SIPITANG, 26 Mac – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menghadiri Program Qiamullail bersama masyarakat di Masjid Haji Abdullah, Kampung Lumat, di sini, dalam suasana penuh ketenangan dan keberkatan.
Program ini diisi dengan solat sunat, zikir, doa serta munajat bagi memohon keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Suasana di sepertiga malam itu cukup bermakna, memperkukuh ikatan hati antara jemaah dan pencipta-Nya.
Menurut Ruslan, peluang mengimarahkan Qiamullail di bulan Ramadan merupakan satu nikmat besar yang harus disyukuri.
"Saat-saat sebegini mengingatkan kita akan kebesaran Ramadan ,bulan yang penuh rahmat dan peluang untuk mendekatkan diri kepada-Nya," katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur melihat kehadiran ramai anak muda serta penduduk setempat yang meluangkan masa di waktu dinihari untuk beribadah.
"Ini membuktikan betapa kuatnya semangat umat Islam di daerah ini dalam menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Amalan ini bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, tetapi juga mendidik hati agar lebih dekat dengan Allah SWT," tambahnya.
Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, ahli jawatankuasa masjid, serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
"Semoga ibadah kita diterima dan menjadi asbab keberkatan dalam kehidupan kita. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak masjid dan surau, agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai umat Islam," katanya.
Beliau mendoakan agar Ramadan kali ini menjadi ruang terbaik untuk meningkatkan keimanan serta memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat.