KEBERKATAN RAMADAN: YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM HADIRI MAJLIS BERBUKA PUASA, SOLAT TERAWIH & TADARUS AL-QURAN BERSAMA MASYARAKAT.
Oleh : Mr Pai / Foto : Diyanah
Kg Hulu Weston, Pekan Weston & Kg Lubok | 3 Mac 2025
Dalam suasana penuh keberkatan Ramadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, telah menghadiri beberapa program keagamaan bersama masyarakat setempat. Program ini melibatkan majlis berbuka puasa, solat terawih, serta sesi tadarus Al-Quran, yang bukan sahaja mengeratkan ukhuwah Islamiah tetapi juga menyantuni golongan yang memerlukan menerusi penyampaian sumbangan kebajikan.
Majlis Berbuka Puasa & Sumbangan Kasih di Surau Nurul Ehsan, Kg Hulu Weston
Dalam perkongsian menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook beliau, Datuk Ruslan Muharam menyatakan bahawa majlis berbuka puasa yang diadakan di Surau Nurul Ehsan, Kg Hulu Weston menjadi satu platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh keberkatan.
"Majlis ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga satu tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan. Kita mahu masyarakat merasakan bahawa Ramadan ini adalah bulan kasih sayang dan kebersamaan," katanya.
Majlis dimulakan dengan iftar beramai-ramai sebelum diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah. Dalam suasana penuh keakraban ini, Datuk Ruslan Muharam turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada tiga anak yatim sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Muanam, Pegawai Perhubungan Khas Parlimen yang mewakili YB Datuk Matbali Musah, Ahli Parlimen P.178 Sipitang, serta Tuan Haji Mazlan Manan, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah. Kehadiran mereka bersama pemimpin masyarakat tempatan menyerlahkan komitmen dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, serta memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian.
Solat Terawih & Sumbangan Ramadan di Masjid Nurul Iman, Pekan Weston
Pada sebelah malam, Datuk Ruslan Muharam bersama rombongan menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih berjemaah di Masjid Nurul Iman, Pekan Weston. Suasana masjid yang penuh ketenangan serta saf jemaah yang dipenuhi oleh penduduk setempat jelas mencerminkan keindahan Ramadan sebagai bulan ibadah dan pengukuhan ukhuwah.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau, Datuk Ruslan Muharam turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama masyarakat dalam mengimarahkan rumah Allah.
"Solat Terawih bukan sekadar satu ibadah, tetapi juga satu ikatan yang mengeratkan hubungan sesama kita. Saya berasa amat gembira melihat anak-anak kecil turut serta dalam solat, menambahkan lagi keberkatan suasana malam Ramadan," ujarnya.
Seawal ketibaan di perkarangan masjid, beliau disambut mesra oleh penduduk setempat yang hadir bersama keluarga. Kanak-kanak turut memeriahkan suasana, mencerminkan keterujaan mereka dalam menunaikan ibadah di bulan mulia ini.
Selesai solat, Datuk Ruslan Muharam beramah mesra dengan jemaah, mendengar cerita dan pengalaman mereka sepanjang Ramadan tahun ini. Beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada anak-anak yatim, agar mereka turut merasai kegembiraan menyambut Ramadan. Selain itu, Pejabat ADUN Lumadan juga menyampaikan sumbangan kurma kepada Masjid Nurul Iman, sebagai tanda sokongan kepada jemaah dalam mengimarahkan rumah Allah.
Tadarus Al-Quran & Kebersamaan di Masjid Al-Muttaqin, Kg Lubok
Usai solat Terawih, Datuk Ruslan Muharam meneruskan perjalanan ke Masjid Al-Muttaqin, Kg Lubok, bagi menyertai sesi tadarus Al-Quran bersama jemaah. Kehadiran ramai penduduk, termasuk kanak-kanak yang bersemangat membaca ayat-ayat suci Al-Quran, menggambarkan komitmen masyarakat dalam menanamkan kecintaan terhadap ilmu agama.
Dalam satu lagi kenyataan di Facebook rasmi beliau, Datuk Ruslan Muharam berkongsi rasa syukur melihat generasi muda tekun membaca Al-Quran dalam suasana penuh ukhuwah.
"Tadarus Al-Quran di masjid ini menyuntik rasa syukur dalam diri saya. Melihat anak-anak kecil serta jemaah dewasa duduk bersama, membetulkan tajwid dan memperdengarkan bacaan dengan penuh tertib, inilah semangat Ramadan yang sebenar," katanya.
Beliau turut meluangkan masa untuk duduk bersama jemaah membaca dan memperdengarkan bacaan Al-Quran, sambil membetulkan tajwid dan makhraj dalam suasana penuh ukhuwah. Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada anak-anak yatim serta sumbangan kurma kepada pihak masjid, sebagai persediaan bagi jemaah yang hadir beribadah sepanjang Ramadan.
Ramadan bukan sekadar tentang solat dan puasa, tetapi juga tentang mengukuhkan silaturahim serta membantu mereka yang memerlukan. Datuk Ruslan Muharam berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi memastikan keberkatan Ramadan dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat.
"Semoga Ramadan kali ini membawa lebih banyak keberkatan dan mendekatkan kita kepada Allah SWT," katanya mengakhiri kenyataan rasmi di Facebook beliau.