KEBERKATAN RAMADAN: PEMIMPIN MASYARAKAT LUMADAN SANTUNI PENDUDUK BATANDOK PEKAN

Oleh : Mr Pai / Foto : Facebook DHRM 


LUMADAN, 26 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam mengamanahkan Ustaz Sarudi serta pemimpin masyarakat N34 Lumadan untuk mewakili beliau dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib di Batandok Pekan.

Menurut Ruslan, program ini merupakan sebahagian daripada usaha memastikan setiap pelusuk N34 Lumadan merasai kemeriahan dan keberkatan Ramadan, selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa berusaha mendekati rakyat walaupun kekangan masa tidak mengizinkan saya untuk berada di semua tempat serentak. Namun, amanah ini saya serahkan kepada pemimpin masyarakat setempat yang menjadi penghubung erat antara rakyat dan kepimpinan. Kehadiran Ustaz Sarudi dan pimpinan kampung mencerminkan keprihatinan kami terhadap kebajikan masyarakat, terutama dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya.

Majlis tersebut bukan sekadar menjamu selera, tetapi juga peluang untuk mengukuhkan ukhuwah serta membina hubungan yang lebih akrab antara pemimpin dan masyarakat. Berbuka puasa bersama, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah, memberi ruang untuk menzahirkan semangat kesatuan dan kebersamaan dalam komuniti.

Dalam kesempatan itu, pemimpin masyarakat turut mengambil peluang mendengar suara penduduk setempat mengenai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti di Kg Bawang Tengah. Ruslan menegaskan bahawa setiap isu yang dibangkitkan akan diberikan perhatian sewajarnya.

“Program-program sebegini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyemarakkan syiar Islam dan menyantuni rakyat di seluruh N34 Lumadan. Saya berdoa semoga keberkatan Ramadan terus mengalir dalam kehidupan kita semua, dan semoga setiap amal ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah SWT,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut dan berharap semangat Ramadan akan terus menyatukan masyarakat dalam membawa perubahan serta kebaikan kepada komuniti setempat.


Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.