JKKK Diseru Perkasa Pengurusan Bencana dan Kebajikan Komuniti.
TAMPARULI, 6 Mac 2025 – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diseru untuk memperkasakan peranan mereka dalam pengurusan bencana serta kebajikan komuniti di kampung masing-masing.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, menegaskan bahawa dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat luar bandar, kefahaman serta kecekapan ahli JKKK dalam menguruskan situasi kecemasan amat penting.
"JKKK bukan sekadar penyampai dasar kerajaan, tetapi juga menjadi barisan hadapan dalam menangani isu-isu kampung seperti bencana alam, kebajikan rakyat, dan keselamatan penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Taklimat Pengurusan Bencana, Kebajikan & Peranan JKKK serta Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK bagi Kawasan DUN N.14 Tamparuli, yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap III KPLBS, Neldin Gimbang; Setiausaha Rendah Seksyen Latihan Pembangunan Masyarakat, Norhayati Aliju; Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak; Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar; pegawai-pegawai KPLBS, serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Menurut Jahid, sebagai pemimpin akar umbi, JKKK perlu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi cabaran semasa.
"Melalui sesi taklimat yang melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam, saya yakin para peserta akan memperoleh panduan yang bermanfaat dalam menjalankan tugas mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar JKKK bekerjasama dengan mantan JKKK di kampung masing-masing serta berkongsi pengalaman bagi memantapkan lagi kepimpinan di peringkat kampung.
Pada majlis yang sama, Jahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKDB yang baharu dilantik.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan ini membawa amanah besar dalam memastikan kemajuan kampung masing-masing.
"Saya berharap semua yang menerima watikah pelantikan ini akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komitmen.
"Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), sentiasa bersedia memberikan sokongan dan bimbingan bagi memastikan pembangunan luar bandar terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah," katanya.
Jahid turut menghargai pihak penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, dengan harapan agar segala ilmu yang diperoleh dapat diterapkan dalam usaha membangun dan memajukan kampung.