Jelajah Santunan Kasih Ramadhan 2025 Melabuhkan Tirai di Beaufort.
BEAUFORT, 28 Mac – Program Jelajah Santunan Kasih Ramadhan 2025 yang bermula pada 25 Mac lalu di Kudat akhirnya melabuhkan tirainya di Masjid Daerah Beaufort hari ini. Program yang berlangsung sepanjang bulan mulia ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan serta memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam berkata, program yang merangkumi beberapa daerah ini bukan sekadar menyalurkan sumbangan kepada asnaf, tetapi juga menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kepimpinan.
“Hati ini bercampur-baur dengan perasaan gembira dan hiba. Gembira kerana dapat menabur bakti serta berkongsi rezeki dengan masyarakat di seluruh daerah, namun dalam masa yang sama terasa sayu kerana program ini telah tiba ke penghujungnya,” katanya.
Jelajah ini turut disertai oleh isteri beliau, Datin Hajah Nursiah Santri, yang bersama-sama turun padang dalam menyantuni masyarakat. Sepanjang program, delegasi telah menjelajah ke beberapa lokasi termasuk Kudat, Telupid, Ranau, Sook, Keningau dan akhirnya Beaufort. Sambutan yang diterima di setiap daerah amat luar biasa dengan kehadiran masyarakat setempat yang menyambut baik usaha ini.
Menurut Ruslan, setiap wajah yang tersenyum menerima sumbangan, setiap salam yang dihulurkan, dan setiap doa yang dipanjatkan bersama telah menjadi kenangan yang akan tersemat dalam hati.
“Program ini bukan hanya soal memberi bantuan, tetapi ia juga satu manifestasi keprihatinan dan kasih sayang dalam bulan penuh keberkatan ini. Semoga segala usaha ini diberkati Allah dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau.
Majlis penutupan program ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sipitang, YB Datuk Matbali Musah, Ketua Pemuda PBS N34 Lumadan, Sobri Abdul Adis, bersama AJK Pemuda serta pemimpin masyarakat yang memberikan sokongan terhadap usaha murni ini.
Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk para sukarelawan, penderma, petugas, serta masyarakat yang telah menjayakan program ini. Beliau berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan memberi kita kekuatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat. Lumadan Sejahtera!” ujarnya mengakhiri kenyataan.