Jelajah Santunan Kasih Ramadan: Mengimarahkan Masjid, Membantu yang Memerlukan.
TELUPID, 24 Mac – Program Jelajah Santunan Kasih Ramadan yang berlangsung di Masjid Daerah Telupid hari ini menyaksikan kehadiran Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, yang turut serta dalam aktiviti kebajikan dan keagamaan bersama masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa masjid bukan sekadar pusat ibadah, tetapi juga nadi pembangunan masyarakat Islam.
“Masjid perlu diimarahkan bukan sahaja dengan solat, tetapi juga dengan program ilmu dan kebajikan yang dapat memperkukuh ukhuwah sesama kita,” katanya.
Jelajah Santunan Kasih Ramadan ini telah menjelajah beberapa daerah dengan misi menyantuni masyarakat dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Antara inisiatif utama program ini termasuk agihan bakul makanan sebagai tanda kepedulian terhadap keluarga kurang berkemampuan, selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang amat menggalakkan umatnya bersedekah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
“Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi peluang untuk kita menggandakan amal. Rasulullah SAW sendiri adalah insan yang paling pemurah pada bulan ini, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencontohi baginda dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujar Ruslan.
Beliau turut mengingatkan agar Ramadan tidak disalahertikan sebagai bulan pesta makanan, tetapi sebaliknya dijadikan kesempatan untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Pada akhir ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini dan berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan demi manfaat ummah.