Jambatan Gantung Kampung Galila Jaya: Ruslan Perjelas Usaha Yang Telah Dilakukan.
Oleh : Editor
BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), menjelaskan bahawa usaha untuk meningkatkan infrastruktur di Kampung Galila Jaya, Padas Damit, telah pun dilakukan sebelum ini, termasuk penaburan batu di laluan menuju ke rumah penduduk berkenaan serta jalan-jalan sekitar kampung pada tahun 2023.
“Sebagaimana dalam dakwaan bahawa tiada jalan ke rumah penduduk berkenaan, ia adalah tidak benar sama sekali. Sila lihat gambar jalan yang telah ditabur batu sebagai bukti kukuh,” katanya.
Ruslan turut menghargai usaha penduduk kampung yang bergotong-royong membaiki jambatan gantung sebagai laluan tambahan bagi memudahkan pergerakan ke rumah berkenaan.
“Saya amat menghargai usaha penduduk yang mengambil inisiatif sendiri membaiki jambatan ini. Sikap tolong-menolong seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan yang kuat dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa jambatan gantung ini merupakan laluan kedua yang digunakan penduduk, khususnya bagi menghadiri majlis perkahwinan, ziarah keluarga dan aktiviti sosial.
“Perancangan untuk membaik pulih jambatan gantung ini telah pun dimasukkan dalam peruntukan ADUN 2025 pada Februari lalu, dan kini kita dalam proses menunggu kelulusan yang dijangka pada pertengahan Mac 2025,” jelasnya.
Ruslan menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur merupakan satu proses berterusan yang memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang tersusun. Oleh itu, sebarang keperluan mendesak akan terus diperhalusi mengikut keutamaan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya sentiasa komited untuk memastikan keperluan rakyat terjaga dan akan terus mencari jalan terbaik bagi memastikan prasarana yang lebih selamat dan selesa untuk masyarakat di Kampung Galila Jaya,” katanya.