Jahid Sambut Setiausaha Tetap KPLB Sabah Yang Baharu.
KOTA KINABALU, 14 Mac – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bersama seluruh kakitangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Tetap yang baharu, Puan Hajah Myrna Jimenez @ Isabelo, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Rafflesia, KPLB Sabah, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Nota Serah Tugas daripada Setiausaha Tetap terdahulu, Datuk Norlijah Hj Danin, yang kini telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah berkuat kuasa 18 Februari 2025.
Komitmen Kepimpinan Baharu
Dalam ucapannya, Datuk Jahid Jahim menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen tinggi Datuk Norlijah sepanjang hampir tiga tahun menerajui pentadbiran KPLB Sabah.
"Hari ini adalah detik penting bagi kementerian kerana kita menyaksikan kesinambungan kepimpinan dalam usaha memperkasa pembangunan luar bandar di Sabah. Saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan Puan Hajah Myrna, kita akan terus melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang," katanya.
Sebagai Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid menegaskan bahawa peralihan kepimpinan ini diharapkan dapat memperkukuh hala tuju pembangunan luar bandar Sabah, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan dalam sistem pentadbiran daerah serta mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama demi kepentingan rakyat Sabah.
Kesediaan Hajah Myrna
Dalam pada itu, Puan Hajah Myrna menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerjasama erat bersama semua pegawai dan warga kerja KPLB Sabah.
"Saya berharap hubungan kerja yang baik ini akan kekal utuh dan terus diperkasakan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan luar bandar dapat direalisasikan dengan berkesan," ujarnya.
Sementara itu, Datuk Norlijah dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu daripada semua Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Presiden Majlis Perbandaran Daerah serta seluruh warga KPLB Sabah sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Tahniah kepada Hajah Myrna. Saya yakin dengan pengalaman beliau, kesinambungan perancangan yang telah disusun akan dapat diteruskan dengan baik," katanya.
Majlis Penuh Penghargaan & Pengisian Ramadhan
Sebagai tanda penghormatan, hadirin turut disajikan dengan tayangan video perpisahan dan penghormatan kepada Datuk Norlijah, selain ucapan selamat datang kepada Hajah Myrna.
Majlis diteruskan dengan Ceramah Ramadhan, sebelum para tetamu dan kakitangan KPLB Sabah bersama-sama menikmati buka puasa dalam suasana penuh harmoni.