IFTAR PERPADUAN PBS N34 LUMADAN ERATKAN UKHUWAH UMAT ISLAM.

Oleh : Mr Pai 



LUMADAN, 28 Mac – Majlis Iftar Perpaduan anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) N34 Lumadan berlangsung meriah dalam suasana penuh keberkatan, memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam berkata, majlis berbuka puasa ini bukan sekadar untuk menjamu selera, tetapi juga sebagai wadah mempererat ukhuwah serta menyuburkan nilai perpaduan yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat.

"Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat bersama dalam majlis yang penuh bermakna ini. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah tetapi juga masa terbaik untuk kita saling berkasih sayang dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen P178 Sipitang, merangkap Ahli Majlis Tertinggi GRS Pusat dan Penyelaras GRS Parlimen Sipitang, YB Datuk Matbali Musah, bersama barisan kepimpinan yang sentiasa komited dalam perjuangan membela rakyat.

Ruslan berkata, sepanjang Ramadan ini, pelbagai program keagamaan telah dilaksanakan di sekitar DUN Lumadan, termasuk berbuka puasa, solat tarawih, dan tadarus di 34 masjid serta 41 surau. Setakat ini, hampir 98% daripada masjid dan surau telah disantuni, kecuali beberapa yang terkesan akibat musibah banjir.

"Saya sendiri sempat menziarahi Surau Pulai Manang yang baru sahaja selesai dibersihkan selepas banjir. Dalam kesibukan beribadah, kita tidak melupakan mereka yang diuji dengan bencana. Bantuan berupa bakul makanan telah diagihkan dengan segera kepada mangsa banjir hasil usaha Pejabat ADUN, UPPM N34 Lumadan, Pemuda dan Wanita PBS N34 Lumadan, para sukarelawan serta badan dakwah N34 Lumadan. Peranan kalian amat besar, dan hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa serta pengorbanan ini," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Matbali Musah atas komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di peringkat Parlimen.

Menjelang penghujung Ramadan, Ruslan mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat DUN Lumadan, sambil menzahirkan rasa syukur atas kebersamaan yang terjalin sepanjang bulan yang mulia ini.

"Semoga Syawal yang bakal tiba mengeratkan lagi persaudaraan kita, walaupun dalam suasana yang masih diuji dengan kesan banjir. Marilah kita terus bersatu hati dalam membangunkan masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera," katanya.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.