Iftar Mahasiswa: Ilmu, Ukhuwah & Komitmen Kerajaan Negeri.

Oleh : Mr Pai / Foto : Ajik


KUALA LUMPUR, 20 Mac – Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia berlangsung meriah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), menghimpunkan anak-anak Sabah di perantauan dalam suasana penuh ukhuwah.

Majlis ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga menjadi platform untuk mahasiswa berinteraksi dengan kepimpinan negeri serta menyuarakan harapan dan cabaran mereka sebagai penuntut ilmu di luar Sabah. Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, diwakili oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi merangkap Exco Pendidikan & Agama.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan Muharam, yang menyifatkan program ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa Sabah di luar negeri.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ruslan menzahirkan kegembiraan kerana dapat bertemu dan berbual secara langsung dengan para mahasiswa.

"Saya amat berbesar hati dapat bersama anak-anak Sabah di majlis iftar ini. Mereka mungkin jauh dari kampung halaman, tetapi kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan mereka terpelihara. Saya mendengar harapan dan cabaran mereka, dan insya-Allah, kita akan terus memperkukuh sokongan agar mereka dapat menuntut ilmu dengan lebih tenang," katanya.

Komitmen Sabah Dalam Pendidikan Mahasiswa

Ruslan turut menekankan bahawa pendidikan menjadi agenda utama kerajaan negeri, dengan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu mahasiswa Sabah.

"Sejak tahun 2021 hingga 2024, seramai 13,550 pelajar telah menerima tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS). Tahun ini sahaja, peruntukan BKNS mencecah RM128 juta, peningkatan 150% berbanding tahun 2020," katanya.

Selain itu, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada tahun 2022 telah memberi manfaat kepada 7,483 pelajar B40, dengan peruntukan RM8.6 juta.


Pelbagai inisiatif lain turut disediakan bagi meringankan beban pelajar:

✅ BUDI – Bantuan Tunai Pendaftaran IPT sehingga RM2,000
✅ BAKTI – RM200 untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM & STAM
✅ SENTOSA – Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri
✅ SUBFLY – Subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah

Menurut Ruslan, kerajaan negeri juga mempergiat kerjasama dengan badan penaja seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) menerusi Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) bagi memudahkan permohonan bantuan pendidikan.

Selain bantuan kewangan, katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan kepimpinan mahasiswa Sabah.

"Kerajaan Sabah bukan sekadar membantu dari sudut kewangan, tetapi juga mahu melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan berdaya saing. Program seperti Felo SMJ, Dewan Belia Sabah, Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS), dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) diwujudkan untuk memberi ruang kepada mahasiswa mengasah bakat kepimpinan mereka," katanya.

Mengakhiri kenyataan, Ruslan menzahirkan keyakinan bahawa mahasiswa Sabah hari ini adalah pemimpin masa depan yang bakal membawa kemajuan kepada negeri.

"Saya yakin, anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di perantauan akan kembali dengan pengalaman dan kepakaran untuk membangunkan negeri tercinta. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada mereka, memudahkan perjalanan akademik mereka, serta mengurniakan kejayaan yang membanggakan ibu bapa dan negeri Sabah," katanya.


Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.