Iftar di Sipitang: Santapan Berkat, Ukhuwah Erat.
SIPITANG, 27 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Ruslan bin Muharam, menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, di Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sipitang.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut dihadiri pemimpin negeri serta masyarakat setempat. Selain berbuka puasa, majlis tersebut menjadi medan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, selari dengan semangat Ramadan yang mengutamakan kebersamaan dan kasih sayang.
Ruslan turut mengiringi YAB Ketua Menteri dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Menurut perkongsian Ruslan di Facebook, inisiatif seperti ini bukan sahaja meringankan beban penerima, tetapi juga memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
"Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan yang memperkukuhkan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama insan. Semoga setiap amal yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini diterima oleh Allah SWT," katanya dalam perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.
Selesai berbuka, Ruslan bersama para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah, diiringi doa agar negeri Sabah terus dilimpahi rahmat dan kesejahteraan.