BERSAMA KOPERASI RANAU – YB MENTERI DENGAR, SOKONG & RAIKAN KEJAYAAN.

Oleh : Mr Pai / Foto : Facebook Gerakan Koperasi Negeri Sabah.


KUNDASANG, 15 Mac 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick, meluangkan masa bersama komuniti koperasi di daerah Ranau dalam satu lawatan kerja yang penuh bermakna. Lawatan ini bukan sekadar meninjau perkembangan koperasi, tetapi juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha-usaha keusahawanan yang dijalankan oleh koperasi setempat.

Destinasi pertama YB Menteri ialah Koperasi Homestay Walai Tokou Kundasang Sabah Berhad, sebuah koperasi yang aktif dalam sektor pelancongan. Di sini, beliau menerima taklimat mengenai perkembangan semasa koperasi dan sempat meninjau sendiri kemudahan serta aktiviti yang dijalankan bagi menarik lebih ramai pelancong.

Seterusnya, YB Datuk Ewon Benedick singgah ke Jualan Madani Koperasi & Usahawan (JMKU) di Tapak Tamu KRT Pekan Kundasang. Beliau turut melancarkan promosi happy hour, menawarkan potongan harga sehingga 30% kepada pengunjung. Program ini, yang dikendalikan oleh Koperasi Emas Tawau Sabah Berhad dengan kerjasama Koperasi Komuniti Peniaga Tamu KRT Kundasang Sabah Berhad, mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Lawatan diteruskan ke Koperasi Sosodikon Ranau Berhad, yang juga menjalankan aktiviti pelancongan. YB Menteri menerima taklimat mengenai perjalanan koperasi sebelum menyempurnakan majlis perasmiannya.


Sebagai penutup, YB Datuk Ewon Benedick menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti & Gerakan Koperasi di Kundasang, yang diadakan di Puteri Nabalu Restaurant. Majlis ini memberi peluang kepada beliau untuk mendengar sendiri pengalaman, cabaran, dan aspirasi komuniti koperasi di Ranau.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBhg. Datuk Rusli Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif SKM; Haji Efendee OP Andu, Pengarah SKM Sabah; Tuan Tinus Manggam, Pegawai Daerah Ranau; En. Mohd Razalie Raffae, Pengarah IKMa Sabah; Dr. Zhamrie Gulamrasul, Pengerusi Angkasa Sabah; serta pegawai-pegawai SKM, IKMa, ANGKASA, dan para koperator jemputan.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong gerakan koperasi, memastikan koperasi terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

(Sumber: Facebook Gerakan Koperasi Negeri Sabah)

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.