BANJIR BESAR MELANDA, PENDUDUK MASIH BERTAHAN DI KEDIAMAN DEMI KESELAMATAN.

Oleh : Mr Pai 


BEAUFORT, 9 Mac – Keadaan banjir yang melanda kali ini disifatkan sebagai antara yang paling buruk dengan paras air mencecah tahap berbahaya, iaitu 9.90 meter. Keadaan cuaca yang tidak menentu turut memburukkan lagi situasi, menyebabkan ramai penduduk mengalami kesukaran mendapatkan bekalan keperluan harian.

Menurut Mohd Hadyansyah Bumpin, seorang penduduk yang terjejas, meskipun bekalan semakin berkurangan, mereka masih mampu bertahan dengan bantuan saudara-mara yang menghantar bekalan ke kawasan terjejas. Namun, cabaran utama bagi penduduk yang masih bertahan di rumah masing-masing adalah keselamatan harta benda mereka.

“Kami belum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah tidak boleh ditinggalkan begitu saja. Pernah berlaku kejadian pencerobohan sebelum ini, di mana pencuri masuk ke rumah-rumah yang kosong,” katanya.

Menurutnya lagi, kawasan yang terjejas melibatkan 14 buah rumah dengan 18 ketua isi rumah, membabitkan sekitar 80 hingga 90 orang termasuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, murid-murid sekolah juga terkesan kerana tidak dapat hadir ke sekolah akibat keadaan banjir yang menyukarkan pergerakan. Kawasan yang lebih dalam hanya boleh diakses menggunakan perahu, manakala jalan-jalan darat terputus akibat ketinggian air yang tidak sekata.

Ditanya mengenai trend paras air, Mohd Hadyansyah menjelaskan bahawa kebiasaannya air akan bertahan selama seminggu sebelum perlahan-lahan surut. Bagaimanapun, dengan keadaan cuaca yang masih tidak menentu, mereka tidak dapat menjangka seberapa cepat keadaan akan kembali pulih.

Sehingga kini, penduduk terus berharap agar keadaan kembali reda secepat mungkin sambil menantikan sebarang bentuk bantuan yang dapat meringankan beban mereka.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

USAHA BERTERUSAN YB DATUK HAJI RUSLAN MUHARAM MEMBANGUNKAN DUN N34 LUMADAN.

Sukan Bentuk Jati Diri, Rayyan Buktikannya.