BANJIR BEAUFORT: KERJASAMA RAKYAT DIPERLUKAN BAGI MENJAMIN KESELAMATAN.

Oleh : Mr Pai 


BEAUFORT, 8 Mac – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap ADUN N34 Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, hari ini turun padang meninjau keadaan banjir yang semakin membimbangkan di beberapa kampung sekitar daerah ini. Kejadian banjir yang bermula sejak 7 Mac lalu telah menyebabkan paras air Sungai Padas meningkat ke tahap bahaya, mengakibatkan banyak kediaman ditenggelami air dan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam lawatan tersebut, Ruslan turut membantu operasi pemindahan mangsa banjir serta menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam menghadapi situasi kritikal ini.


“Saya ingin mengingatkan semua penduduk agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa. Apabila paras Sungai Padas mencecah 8.5 meter ke atas, ia sudah berada dalam kategori bahaya. Mereka yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai perlu bertindak awal untuk berpindah bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan. Jika menunggu sehingga air naik tinggi, ia bukan sahaja menyukarkan operasi menyelamat tetapi juga meningkatkan risiko kepada mangsa serta pasukan keselamatan,” katanya.




Beliau turut meninjau kawasan yang terjejas teruk termasuk Kampung Luagan Sanginan, Batu 6 ½, Jaya Baru, serta beberapa perkampungan lain di sekitarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar isu bencana ini tidak dipolitikkan, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu untuk membantu mereka yang terjejas.

"Ini adalah masa untuk kita bersatu dan memberikan sokongan kepada mangsa banjir. Saya menyeru semua pihak, tanpa mengira latar belakang, untuk tampil membantu mereka yang memerlukan. Kebajikan rakyat perlu diutamakan di saat-saat genting seperti ini,” tambahnya.




Turut serta dalam lawatan itu ialah PPM N34 Lumadan, Encik Diuslin Augustine; Pegawai Khas ADUN N34 Lumadan, Cik Bibiyani Abdul Adis; warga kerja Pejabat ADUN dan UPPM N34 Lumadan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Beaufort atas usaha mereka dalam mengendalikan operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Semoga semua mangsa diberikan ketabahan dan perlindungan dalam menghadapi ujian ini.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.