AMANAH RAYA TERUS MENYANTUNI MANGSA BANJIR BEAUFORT.
KOTA KINABALU, 13 Mac 2025 – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AmanahRaya Care yang berlangsung di Hilton Hotel, Kota Kinabalu hari ini menyaksikan penyampaian sumbangan zakat wakalah dan bakul makanan kepada golongan yang terjejas akibat banjir besar yang melanda daerah Beaufort.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dalam Hal Ehwal Agama, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, menzahirkan penghargaan kepada Amanah Raya atas keprihatinan mereka terhadap rakyat yang masih bergelut dengan kesan banjir.
"Ketika rakyat dalam kesusahan, Amanah Raya tampil memberi sumbangan kepada mereka yang terjejas banjir. Walaupun tidak dapat membantu keseluruhan mangsa, bantuan ini tetap bermakna dalam keadaan luar biasa yang kita alami minggu lalu," katanya.
Menurut beliau, keadaan banjir di beberapa kampung masih belum pulih sepenuhnya, dengan paras air yang masih menghalang laluan kenderaan kecil. Justeru, bantuan ini akan terus membantu meringankan beban golongan yang paling terkesan, khususnya golongan asnaf dan kumpulan B40.
Usaha Berterusan Membantu Mangsa Banjir
Dalam usaha membantu mangsa banjir, Ruslan turut menekankan bahawa inisiatif bantuan bukan hanya bergantung kepada satu pihak, tetapi memerlukan usaha bersama dari pelbagai pihak.
"Selain dana daripada Amanah Raya, kita juga telah menggerakkan bantuan segera melalui inisiatif sentuhan kasih. Ketika banjir melanda, kita terpaksa menggunakan dewan sekolah dan masjid sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kerana fasiliti sedia ada tidak mencukupi," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyediaan bantuan seperti makanan dan keperluan asas memerlukan tindakan pantas, termasuk menyewa kenderaan berat untuk menghantar bekalan ke kawasan yang masih digenangi air.
"Banyak kawasan yang tidak dapat diakses oleh kenderaan kecil, jadi kita terpaksa menyewa kenderaan tinggi bagi memastikan bekalan sampai kepada mereka yang terjejas. Ini membuktikan betapa pentingnya pengurusan bantuan yang cekap dan pantas," tambahnya.
Program AmanahRaya Care kali ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam situasi kecemasan seperti banjir. Sebelum ini, Amanah Raya turut terlibat dalam pelbagai inisiatif kebajikan di Sabah.
Beliau berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan dan lebih banyak pihak tampil untuk membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam keadaan yang mencabar ini.