200 Bakul Makanan Disalurkan Kepada Ahli Koperasi Terjejas Banjir Melalui Program Gerakan Koperasi Prihatin Ihsan Madani.
Oleh : Mr Pai
BEAUFORT, 14 Mac – Sebagai langkah proaktif dalam membantu mangsa banjir, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Prihatin Ihsan Madani, khusus bagi ahli-ahli koperasi yang terjejas di Daerah Beaufort.
Sebanyak 200 bakul makanan telah disediakan dan diserahkan secara simbolik kepada wakil 13 koperasi dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat ADUN N.34 Lumadan, Bandar Minggo, Beaufort.
Menurut Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, koperasi merupakan tunjang penting dalam pembangunan ekonomi masyarakat, dan apabila musibah melanda, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kebajikan anggotanya terus terbela.
"Program ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi juga tanda solidariti, keprihatinan dan kebersamaan dalam membantu mereka yang memerlukan. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas serta membantu dalam fasa pemulihan pasca banjir," katanya yang juga merangkap pengerusi koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah SKM Negeri Sabah, Tuan Haji Efendee OP Andu, pegawai-pegawai SKM serta pengerusi-pengerusi koperasi yang menerima sumbangan bagi pihak anggota mereka. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen tinggi dalam memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Sebagai tanda penghargaan, Ruslan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.
"Marilah kita terus mengamalkan budaya prihatin, saling membantu dan memperkukuhkan semangat kekitaan dalam komuniti kita. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya," tambah beliau.