Surau Al-Matin Kampung Piuludan Baru Dirasmikan, Bakal Jadi Pusat Ibadah Sepanjang Ramadan.

Oleh : Mr Pai 

SOOK, 28 Februari – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ruslan Muharam, yang juga ADUN N.34 Lumadan, telah merasmikan Surau Al-Matin di Kampung Piuludan Baru, Tulid Sook, dalam satu majlis yang berlangsung meriah semalam.

Majlis perasmian ini amat signifikan kerana ia diadakan menjelang bulan Ramadan, di mana surau ini bakal menjadi pusat ibadah dan aktiviti keagamaan seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, majlis ilmu, serta program kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Meskipun surau ini masih dalam skala sederhana, usaha menaik tarafnya akan dilakukan secara berperingkat bagi memberikan keselesaan yang lebih baik kepada para jemaah. Namun, lebih penting daripada saiz dan kemudahan ialah bagaimana masyarakat dapat menghidupkan surau ini dengan ibadah dan aktiviti yang bermanfaat," ujar beliau menerusi hantaran di Facebook.


Selain perasmian, majlis ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan secara simbolik kepada golongan asnaf sebagai persediaan mereka menyambut Ramadan.

Turut hadir ialah YB Datuk Flovia Ng, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap ADUN N.44 Tulid, yang turut serta dalam penyampaian sumbangan. Hadir sama ialah Ustaz Haslee Bin Harimin, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Sook, serta Cikgu Sakim Bin Bahahim, Pengerusi Badan Dakwah Daerah Sook.

Perasmian ini diharapkan menjadi titik tolak bagi penduduk setempat untuk terus mengimarahkan surau dengan ibadah dan aktiviti keagamaan sepanjang masa, khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Popular posts from this blog

Pemuda PBS Lumadan Tegas – Demonstrasi Liar Perlu Dikenakan Tindakan.

GRS N.34 Lumadan Sedia Hadapi PRN.

Jentera Wanita GRS Lumadan Mantap, Selesai Taklimat di Semua 13 PDM.