SINAR RAMADAN BUAT PENDUDUK KAMPUNG ULU BUKAU.
Oleh : Mr Pai / Foto : Diyanah
SINAR RAMADAN BUAT PENDUDUK KAMPUNG ULU BUKAU
Beaufort, 1 Mac – Ketibaan bulan Ramadan bukan sekadar membawa keberkatan, tetapi juga menjadi simbol keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat. Hari ini, Program Baik Pulih Rumah serta Penyerahan Sumbangan SabahVFM menerusi rakan strategiknya, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Amanah Raya Berhad, telah memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan menjelang ketibaan bulan mulia ini
Program ini dirasmikan oleh Pengarah Penyiaran Sabah, Yang Berusaha Encik Mohd Yusni bin Mohamed Ali, yang juga Ketua Skuad Jelajah Ramadan RTM Sabah. Turut hadir, YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dalam Hal Ehwal Agama merangkap ADUN N34 Lumadan, yang bersama-sama menyaksikan perjalanan program dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Dalam satu hantaran di Facebook, YB Datuk menyatakan bahawa program ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga mengeratkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. "Melihat rumah yang telah dibaik pulih sebelum Ramadan tiba pasti memberikan kelegaan kepada pemiliknya. Begitu juga dengan sumbangan yang diterima, sedikit sebanyak dapat membantu mereka menyambut bulan yang penuh keberkatan ini dengan lebih selesa dan tenang," katanya.
Skuad Konvoi Jelajah Ramadan 2025 RTM Sabah turut menyemarakkan lagi suasana dengan penyertaan para penyampai radio dari lima stesen RTM Sabah iaitu SABAHfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm, bersama para penaja dan diiringi PDRM.
Program ini membuktikan komitmen berterusan dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Semoga usaha seperti ini terus diperluaskan agar lebih ramai dapat merasai keberkatan dan kegembiraan menjelang Ramadan.