Lawatan Pemantauan Projek Ternakan Ikan Talapia di Bawah Program Sejati Madani.
Oleh : Mr Pai
KOTA KINABALU, 25 Februari – Projek ternakan ikan talapia di bawah Program Sejati Madani yang dilaksanakan oleh Koperasi Pembangunan Dakata Sabah Bhd terus menunjukkan perkembangan positif. Satu lawatan pemantauan telah diadakan hari ini bagi meninjau status semasa projek yang bertempat di tapak ternakan koperasi tersebut.
Menurut perkongsian di laman Facebook Gerakan Koperasi Negeri Sabah, lawatan yang bermula jam 9.00 pagi itu bertujuan memantau kemajuan kerja-kerja penyediaan tapak projek, termasuk pembinaan garaj berbumbung untuk penternakan ikan talapia berukuran 51 kaki x 45 kaki. Pada masa ini, koperasi sedang melengkapkan dokumen berkaitan butiran kerja dan kos untuk tujuan permohonan tuntutan bayaran fasa kedua.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya dengan tuaian hasil pertama pada bulan Julai 2025, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui sektor akuakultur.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Asnijah Ibin selaku Penolong Pengarah Kanan SKM Wilayah Pantai Barat Selatan. Kehadiran wakil ANGKASA Negeri Sabah turut memeriahkan program ini, iaitu Encik Mohd. Idris bin Sallehuddin, Pegawai Pembangunan Koperasi ANGKASA Sabah, dan Encik Affenddy bin Awang Anak, Pegawai Perniagaan ANGKASA Sabah.
Sementara itu, pihak Koperasi Pembangunan Dakata Sabah Bhd diwakili oleh Encik Micheal Fadillah Raio, Pengerusi Koperasi, dan Encik Mark Jinilol Harry Mobinsil selaku Setiausaha Koperasi.
Lawatan ini bukan sahaja bertujuan meninjau kemajuan projek tetapi juga memperkukuh kerjasama antara koperasi, agensi kerajaan, dan badan berkaitan dalam memastikan kejayaan projek berimpak tinggi ini.