Ketua Menteri Sabah Tekankan Pemerkasaan Usahawan di MIDE.
Oleh : Mr Pai / Foto : Ismi Diyanah
KOTA KINABALU, 24 Februari – YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) hari ini, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor keusahawanan di Sabah.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan ekonomi, kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan empat Karnival PMKS sepanjang tahun ini. Karnival ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih luas kepada produk dan perkhidmatan tempatan, di samping menyediakan platform kepada usahawan untuk berkembang dan berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Ruslan Muharam yang juga ahli dewan undangan negeri Lumadan, "Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, saya yakin PMKS Sabah mampu terus melangkah lebih jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa. Karnival PMKS yang dirancang ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan, tetapi juga memperkukuhkan jaringan perniagaan dan ekonomi di negeri ini."
Langkah ini selari dengan aspirasi Sabah untuk memajukan ekonomi setempat serta memperkasakan usahawan, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan wanita. Dengan pendekatan strategik dan sokongan berterusan, Sabah terus komited dalam memastikan sektor PMKS berkembang pesat dan menyumbang kepada kemakmuran negeri.
Inisiatif ini diharap dapat merancakkan lagi pertumbuhan sektor PMKS di negeri ini, sekaligus menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan ekonomi Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.