GOTONG-ROYONG PERDANA & PENANAMAN POKOK LIMAU DI MASJID KG. GADONG.
Oleh : Mr Pai / Foto : Terbuka.
GADONG: Program Gotong-Royong Perdana di Masjid Kg. Gadong Ahad yang lalu berlangsung dengan penuh semangat kekitaan, melibatkan penduduk kampung yang berganding bahu membersihkan persekitaran masjid.
Program ini dihadiri oleh Pemaju Mukim, Sadamshah Hussin, yang mewakili YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) merangkap ADUN N34 Lumadan. Menurut Ruslan, program seperti ini bukan sahaja mempereratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, tetapi juga memastikan rumah ibadah terus terjaga dan menjadi pusat perpaduan ummah.
Sebagai simbolik penghijauan dan keberkatan, sesi penanaman pokok limau turut diadakan di perkarangan masjid. Ruslan di Facebook miliknya menyatakan harapan agar pokok yang ditanam membesar subur, menjadi lambang kemakmuran dan kesejahteraan buat kampung tersebut.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini. Salam serta penghargaan saya juga buat seluruh warga Kg. Gadong atas sokongan dan komitmen mereka," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas program di Facebook.
Turut hadir dalam program ini adalah pemimpin setempat serta ahli kariah masjid yang sentiasa komited dalam menjaga kebersihan dan keharmonian kampung.